Click here for Myspace Layouts

Friday, November 11, 2011

sipnopsis papa-akhirnya kau tewas jua-Deana Yusof


Papa…(akhirnya kau tewas jua!)
Sinopsis:
Novel ini mengisahkan kehidupan sebuah keluarga bahagia yang terdiri daripada Intan Juliana (Julia), mama (Intan Maliana), papa (Jefri) dan Mak Cik Noraini. Pada awal cerita, hubungan mama dan papa digambarkan sangat erat dan mesra. Pada suatu hari, mama jatuh sakit. Papa memberitahu Julia bahawa mama telah mengandung. Julia sangat gembira namun Mak Cik Noraini berasa amat bimbang apabila mendengar berita itu. Hal ini disebabkan mama pernah mengalami komplikasi semasa melahirkan Julia dahulu. Ketika pulang dari sekolah, Julia terdengar perbualan antara mama dengan Mak Cik Noraini. Dalam perbualan itu, Mak Cik Noraini mengingatkan Mama tentang peristiwa semasa melahirkan Julia. Mama telah koma akibat kehilangan banyak darah manakala Julia menghidap penyakit demam kuning dan alah pada susu tepung. Mama menjelaskan bahawa dia sanggup berkorban kerana papa menginginkan anak lagi. Mama dan papa telah berbincang tentang perkara tersebut. Rakan sekerjanya, Cikgu Suzie turut melahirkan perasaan bimbangnya. Namun begitu, mama tetap berkeras untuk meneruskan kandungannya demi papa yang sangat dicintainya. Kandungan mama semakin membesar dan dijangka akan melahirkan anak kembar lelaki. Ketika di dapur, Julia bertanyakan Mak Cik Noraini keadaan mama semasa melahirkannya dahulu. Mak Cik Noraini menceritakan segala-galanya dan memberitahu bahawa badan Julia hanya sebesar anak kucing yang berumur sebulan.
Di kolej tempat papa mengajar, terdapat seorang pelajar yang amat meminati pengajarannya, iaitu Aisyah. Kadangkala papa menumpangkan Aisyah  hingga ke rumahnya. Julia pernah menguji kesetiaan papa supaya menjadikan Aisyah sebagai isteri keduanya. Papa meyakinkan Julia bahawa dia tidak akan menduakan mama. Mama dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana sudah tiba masanya untuk mama untuk melahirkan anak. Doktor memberitahu papa bahawa bayi kembar lelaki yang dikandung mama ialah bayi kembar  Siam. Walau bagaimanapun bayi kembar tersebut telah meninggal dunia sewaktu dalam kandungan lagi. Mama kehilangan banyak darah dan berada dalam keadaan koma. Kini, tugas menghantar dan mengambil Julia diambil alih oleh papa. Di sekolah, Julia telah berkenalan dengan pelajar baru di kelasnya, Rasylan. Mereka saling bertukar cerita. Mama masih lagi koma dan berada di hospital. Mak Cik Noraini meminta papa agar berkahwin lagi kerana dia tidak sampai  hati melihat papa bersendirian dan tidak seceria dahulu. Papa mengatakan bahawa dia sanggup menunggu mama pulih dan perlu menjaga hati Julia. Julia telah meminta kebenaran papa untuk pergi ke rumah Rasylan. Papa menyuruh Julia memperkenalkan Rasylan kepadanya terlebih dahulu agar maruah Julia sebagai seorang perempuan terpelihara.
Apabila Julia pulang selepas kertas terakhir peperiksaan SPM, dia mendapati bahawa mama telah dibawa pulang oleh papa. Papa telah mendapat kebenaran oleh doktor dan mama ditempatkan di bilik yang dilengkapi dengan peralatan seperti di hospital. Hampir 8 bulan mama koma dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan sedar. Keputusan SPM Julia akan diumumkan tidak lama lagi. Papa masih lagi tidak putus asa dan sentiasa berdoa kepada Tuhan agar mama cepat sedar daripada komanya. Papa tetap menunjukkan kasih sayangnya kepada mama dan sentiasa berbual dengan mama yang sedang koma itu. Selepas beberapa minggu peperiksaan tamat, Rasylan menziarahi Julia dan papa. Rasylan dan papa berbual-bual dari tentang mama hingga latar belakang Rasylan. Rasylan kehairanan kerana papa seolah-olah sudah mengenali bapa angkatnya. Papa menjelaskan bahawa bapa angkat Rasylan, Datuk Mustakim telah melanggar ibu dan bapa papa. Dalam kemalangan tersebut, bapa papa telah meninggal dunia manakala ibu papa lumpuh. Hubungan Julia dan Rasylan bertambah intim dan mesra. Sifat-sifat Rasylan telah memikat hati Julia. Namun begitu, papa menunjukkan perasaan kurang senang hatinya Julia berkawan dengan Rasylan.
Julia dan Rasylan telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Julia ternampak papa dan Aisyah sedang makan di sebuah restoran seperti sepasang kekasih semasa dia dan Rasylan ingin meraikan kejayaan mereka di Starbucks Coffee. Julia dan Rasylan melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi  Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Keesokannya, Julia dan Rasylan  keluar untuk membeli buku dan sekali lagi dia ternampak papa bersama-sama dengan Aisyah. Fikiran Julia runsing memikirkan hubungan papa dengan gadis tersebut. Pada suatu hari, Rasylan mengajak Julia makan di A&W. Dalam perjalanan, Rasylan memberitahu Julia bahawa Encik Muaz al-Khalibi, pensyarah daripada Jabatan Sains Politik telah memintanya menjalankan ujian DNA. Apabila sampai, Julia telah melihat papanya sedang berbual dengan Aisyah di suatu sudut restoran tersebut. Julia mengajak Rasylan  meninggalkan restoran itu.
Pada minggu berikutnya, Julia pulang ke rumah. Dia terdengar perbualan antara Mak Cik Noraini dengan papa. Mak Cik Noraini bersetuju dengan hasrat papa untuk  berkahwin semula kerana sudah bertemu dengan orang yang sesuai. Di ruang tamu, Julia melihat papa membaca artikel “Poligami’. Julia memberitahu papa bahawa dia telah terserempak dengan papa dan Aisyah beberapa kali. Julia mengaitkan artikel tersebut dengan niat papa yang ingin berkahwin lagi. Julia mengingatkan papa bahawa mama masih hidup lagi dan menganggap papa curang dan mengkhianati mama. Papa telah menampar pipi Julia kerana kelancangannya itu. Rasylan menasihati Julia agar menerima hasrat papa kerana papa manusia biasa yang memerlukan seseorang yang boleh berkongsi segala-galanya. Kemudian, Rayslan memberitahu Julia bahawa DNAnya sama dengan Encik Muaz. Rasylan tidak dapat menerima kenyataan ini kerana dia dipelihara di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak kecil.
Sudah dua minggu Julia tidak balik ke rumah selepas peristiwa dia ditampar itu. Papa telah datang ke kampus UIA untuk berjumpa dengannya. Papa meminta keizinan Julia untuk mencari pengganti mama dan menjelaskan bahawa dia memerlukan seseorang bagi mengejutkannya tidur untuk solat Subuh, berkongsi cerita dan mengingatkan tarikh perjumpaannya dengan doktor. Mama tidak dapat melakukan semua perkara itu lagi. Akhirnya, Julia akur dengan permintaan papa demi kebahagiaan papa.
Rasylan memberitahu Julia tentang nasib dirinya sebagai anak luar nikah bapanya, Encik Muaz dengan seorang warga Indonesia. Dia telah ditinggalkan oleh ibunya berhampiran dengan longkang besar. Ibunya berharap agar dia mati kerana kelahirannya tidak berayah dan  ibunya tidak sanggup menanggung malu besar. Kini, ibunya telah pulang ke negara asalnya. Bagi Rasylan, Datuk Mustakimlah yang dianggap sebagai ayah bukannya Encik Muaz.
Papa telah memperkenalkan bakal isterinya kepada Julia. Pada hujung minggu itu, papa meminta Julia pulang untuk menghadiri majlis pernikahannya pada malam tersebut. Namun  begitu, Julia enggan dan memberikan alasan untuk menjaga mama. Pada pagi berikutnya, Julia diserang demam panas. Ketika terlantar di hospital, Julia telah bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki yang mirip papa cuma masih muda dan bernama Jeffri. Dalam mimpi tersebut, Jeffri memujuk dan menasihati Julia agar membenarkan papa berkahwin lagi. Papa sudah lama menanggung penderitaan sejak mama koma. Menurut Jeffri lagi, papa memerlukan seseorang yang dapat berkongsi kehidupannya dengannya. Walaupun mama masih hidup, namun mama tidak dapat berbuat sedemikan dan tidak tahu masanya mama akan pulih. Julia memberitahu Jeffri bahawa dia takut kehilangan kasih sayang papa. Pada penghujung mimpi tersebut, Julia merelakan perkahwinan papanya demi kebahagiaan mereka sekeluarga. Julia terlantar di hospital selama tiga hari. Apabila cuti semester berakhir, Julia meneruskan pengajiannya.
Selepas peperiksaan semester kedua, Julia pulang ke rumah. Julia terdengar papa menegur Mak Cik Aisyah yang telah masuk ke bilik mama seorang diri. Perbuatan Julia mendengar perbualan ibu bapanya secara curi-curi ditegur oleh Mak Cik Noraini. Julia memberitahu Mak Cik Noraini bahawa papa memarahi Mak Cik Aisyah yang mungkin akan meletakkan racun kepada mama. Mak Cik Noraini yang terdengar kata-kata Julia telah berkecil hati. Julia meminta maaf dan menyatakan kerelaannya menerima Mak Cik Aisyah dengan hati yang ikhlas. Hubungan antara Julia dengan Rasylan semakin intim dan perasaan cemburu mulai timbul dalam hati masing-masing. Rasylan menegaskan bahawa dia akan menolak tawaran Encik Muaz apabila ditanya oleh Julia tentang hal itu.
Julia sedang menghadapi masalah hubungan cintanya dengan Rasylan. Mak Cik Aisyah yang menyedari hal itu telah memberikan nasihat dan pandangannya untuk membantu Julia. Selepas solat, papa meluru masuk ke bilik mama. Papa menegur mama seperti biasa dengan harapan ada keajaiban akan berlaku. Tiba-tiba mama membuka mata, mengerakkan tangan dan jari-jarinya serta mulutnya terkumat-kamit seperti ingin menyatakan sesuatu. Papa amat gembira dengan perkembangan mama itu. Ketika papa sedang berbual dengan mama, Mak Cik Aisyah muncul. Mama memandang Mak Cik Aisyah dengan kehairanan. Papa memperkenalkan Mak Cik Aisyah dan menjelaskan sebab-sebab dia berkahwin lagi. Namun begitu, mama kelihatan tidak dapat menerima kenyataan itu. Mama tiba-tiba nazak dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sejak kelahiran Julia, papa tidak pernah menangis, namun  kali ini papa akhirnya tewas jua.

No comments:

Post a Comment